Blog ini dibuat untuk perkongsian segala maklumat antara pihak PRASEKOLAH SKPJ bersama ibu bapa dan orang ramai di samping dapat menambah lebih banyak idea serta penambahbaikan demi kepentingan kanak-kanak prasekolah sekolah ini.

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)





Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) diperkenalkan pada 2010 bertujuan untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat serta menyuburkan melalui aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Melalui kurikulum ini kemahiran literasi dan numerasi asas murid dipertingkatkan, keyakinan dibangunkan dan konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak dipupuk. Ini adalah untuk menyediakan murid agar mereka berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran bagi kelangsungan pembelajaran seterusnya.

KSPK terbina berdasarkan rekabentuk kurikulum berasaskan standard dan berbentuk modular. Standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran adalah berpaksikan kepada pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam Tunjang Pembelajaran berikut: Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai;  Kemanusiaan;  Sains dan Teknologi; Perkembangan Fizikal dan Estetika serta Perkembangan Ketrampilan Diri.

Pada peringkat prasekolah, proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada Amalan Bersesuaian dengan Perkembangan Kanak-kanak (ABP) Developmentally Appropriate Practices.  Pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersifat fleksibel tetapi terancang di mana semua murid terlibat secara aktif melalui pelbagai aktiviti individu, kumpulan dan kelas sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.  Suasana pembelajaran yang selesa, ceria dan selamat dapat menggalakkan naluri ingin tahu dan gemarkan cabaran yang seiring dengan fitrah semulajadi kanak-kanak.

Kepentingan ILMU dalam ISLAM

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya, maka hendaklah ia menuntut ilmu.”